Tuesday, November 24, 2009

ARKIB UTUSAN : 27/09/2008
Gula kabung pembuka selera

Oleh HARIS FADILAH AHMAD



Manisan (nira) kabung dimasak dalam kawah sehingga kemerah-merahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang dan dibiarkan mengeras.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LIPIS 26 Sept. - Gula kabung atau dalam istilah saintifik Arenga sacchanifera merupakan sejenis bahan campuran dalam kuih-muih yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu di daerah Lipis.

Gula yang diperoleh daripada pokok kabung itu amat sinonim dengan kuih-muih tradisional Melayu Pahang sejak zaman berzaman.

Gula kabung semakin diperlukan terutama pada bulan Ramadan apabila ia menjadi bahan pembuka selera ketika waktu berbuka puasa dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Antara kuih-muih yang lazim dicampur gula kabung termasuk dodol, kuih koci, lepat, nasi manis, pengat dan inti kuih.

Maseriah Talib, 46, dari Kampung Peruang, Benta dekat sini, merupakan antara pengusaha gula kabung yang paling sibuk sepanjang bulan Ramadan ini.

''Waktu bulan puasa ini, saat paling sibuk melayani tempahan mereka yang gemar gula kabung untuk membuat kuih-muih bagi juadah berbuka puasa dan jualan di bazar Ramadan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Berbekalkan kemahiran membuat gula kabung sejak usia muda, Maseriah berkata, keenakan gula kabung memang berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.

''Kerja-kerja membuat gula kabung bermula apabila manisan atau nira daripada tandan pokok kabung diambil untuk diproses,'' ujarnya.

Nira itu, katanya lagi, kemudian dimasak sehingga pekat dan berwarna coklat kemerahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang untuk dibekukan dalam tempoh lima minit.

''Kebiasaannya, tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan sebanyak 13 buku gula kabung setiap hari.

''Saya menjual dengan harga RM3.50 sebuku kepada pelanggan dan saya mampu meraih sehingga RM1,300 sebulan daripada jualan gula kabung ini," jelasnya.

Maseriah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu membiayai perusahaan gula kabungnya dengan pemberian peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan membeli peralatan memproses gula itu.

Menurutnya, beberapa buah stesen televisyen tempatan dan luar negara pernah membuat dokumentari selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional di rumahnya.

Gula kabung, tambah beliau, bukan sahaja menjadi penyedap kuih-muih, malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata kepada pembesar pada majlis tertentu di daerah Lipis.

Seorang lagi pengusaha dari Peruang di sini, Mustafa Yunus, 52, berkata, kerjanya yang membuat gula kabung sejak 15 tahun lalu mampu meraih pendapatan lumayan untuk menyara keluarga dan persekolahan anak-anaknya.

''Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira sehingga memasak menjadi gula kabung," jelasnya.

Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpulkan.

Beliau menambah, permintaan terhadap gula kabung meningkat pada bulan Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih, selain buahnya boleh dijadikan halwa sebagai campuran dalam minuman.

No comments:

Post a Comment